KEKUSUTAN yang tercetus ketika penghujung minggu 2020 lalu akhirnya terlerai apabila selebriti terkenal, Neelofa menafikan hampir kesemua dakwaan yang berlegar dalam sosial media tentang status pertunangannya dengan pendakwah bebas, Haris Ismail.
Pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, itu menerusi satu kenyataan memberitahu tiga andaian yang tersebar luas dalam media sosial sejak minggu lalu adalah tidak benar sama sekali.
“Kononnya terkena buatan minyak pengasih. Tidak benar sama sekali dan sejujurnya, itu adalah satu tuduhan yang amat berat.
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.
“Sementara dakwaan saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris adalah tidak benar sama sekali.
“Ketiga, kononnya saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan juga tidak benar,” katanya.
Pun begitu, Neelofa seperti tidak menafikan bahawa hubungannya dengan Haris berdepan masalah. Katanya, dia menyerahkan segala urusan berkenaan kepada kedua-kedua belah keluarga.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya dan Haris kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada keluarga saya dan Haris untuk segala perkara yang berlaku. Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum ada apa-apa sebarang ikatan,” ujarnya lagi.
Selang beberapa hari selepas Neelofa bersuara, timbul pula cerita-cerita lain mengaitkan mantan pengacara MeleTOP itu.
Tular tentang kajian dan pemerhatian yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook bernama Putera Nur Muhammad Raihan mengenai diri Neelofa.
Tak kecil hati
Neelofa tidak berkecil hati dengan spekulasi atau khabar angin negatif mengenainya terutama dalam media sosial.
Dalam ciapan menerusi Twitter, Neelofa berkata demikian sebagai menjawab soalan peminat bagaimana dia berhadapan dengan kontroversi atau spekulasi negatif.
“Sejujurnya saya hanya ketawa sahaja. Tidak berkecil hati kerana semua itu tidak benar. Jadi kenapa kita perlu ambil kisah? Seterusnya, kita ‘move on’ (teruskan hidup)!” katanya.
Sementara itu, selepas beberapa ketika membisu dan mendiamkan diri, Haris tampil ‘bersuara’ dalam InstaStory seakan memberi bayangan tentang jawapannya berhubung kontroversi yang tercetus.
Menerui perkongsian tersebut, Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail memuat naik satu potongan ayat berbahasa Arab disertakan dengan maksud.
“And know that Allah will resolve everything in the end, in a way you would never imagine.” (Dan ketahuilah bahawa Allah akan menyelesaikan segalanya dengan cara yang langsung tidak kita bayangkan.)
Pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu turut memuat naik sedutan rakaman ceramah yang disampaikan menerusi Instagram dengan meninggalkan kapsyen dalam bahasa Arab membawa maksud: “Dan jangan jadikan dunia sebagai perhatian utama kami.”
Sebenarnya, sifirnya di sini mudah. Bekerja dengan status selebriti terlekat di bahu, akan datang banyak tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas dari bibir-bibir yang kita tidak kenali.
Waima seseorang itu tidak lagi galak membina nama seperti zaman kegemilangannya, namun masih bergantung dengan kuasa peminat dan media sosial. Itulah lumrah anak seni walaupun tidak lagi punya hati untuk bergelumang dengan kerjaya yang pernah menjadi periuk nasi.
Penulis percaya apa yang berlaku dalam dunia ini adalah kehendak daripada Ilahi. Kita boleh menghadirkan usaha setekun mana, namun dalam perjalanan ingin mengecap bahagia akan ada banyak onak duri yang perlu ditempuhi.
Kekangan seperti itu akan membuatkan kita semua lebih matang mendepani apa yang berada di hadapan terutama 2021 yang masih hijau usianya.