PETALING JAYA – Rata-rata pemohon skim i-Sinar mula berkongsi debaran di laman sosial Facebook masing-masing susulan ketibaan tarikh semakan permohonan skim berkenaan yang jatuh pada esok hari.
Difahamkan, pemohon kategori pertama boleh memeriksa kelulusan permohonan mereka bermula esok (4 Januari) menerusi pautan https://isinar.kwsp.gov.my/ manakala pemohon kategori kedua pula boleh berbuat demikian bermula 11 Januari depan.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Erol Arol memuat naik status berharap semoga hari esok akan membawa berita gembira buatnya sekaligus memberikan gambaran mengharapkan kelulusan skim i-Sinar yang telah dipohon.
“Badan saya dah semakin susut, muka dah cengkung, berat badan dah turun nak makan tidak ada selera.
“Harap 4 haribulan ini ada berita gembira buat saya,” katanya berseloroh.
Kemaskini status tersebut turut mendapat hampir 400 komen daripada pengguna media sosial Facebook yang rata-ratanya bersetuju serta berharap semoga permohonan mereka diluluskan.
Seorang lagi pengguna dengan nama Muniman Unie turut mendoakan semoga urusan mereka yang memohon skim berkenaan dipermudahkan serta diluluskan.
“Esok adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh kita semua. Semoga kita semua akan bersinar-sinar dan Insya-Allah dipermudahkan urusan kita semua..Amin,” katanya.
Kemas kini status berkenaan turut mendapat respon positif daripada pengguna Facebook yang bersama-sama mengaminkan doa tersebut serta menyatakan harapan yang sama.
Terdahulu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2 Disember tahun lalu telah mengumumkan dua kategori ahli KWSP yang layak mengeluarkan wang simpanan Akaun 1 menerusi skim i-Sinar.
Kategori pertama yang layak adalah ahli KWSP yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri dan bekerja dalam sektor ekonomi gig serta ahli KWSP yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kategori kedua pula adalah untuk ahli KWSP yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.
Difahamkan, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000. – K! ONLINE