fbpx

Nur Adilla catat sejarah MBOR, berkayak solo 361 kilometer susur Sungai Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR Adilla menunjukkan sijil MBOR yang diterimanya hari ini selepas menamatkan kayak secara solo sejauh 361 kilometer menyelusuri Sungai Perak.

BAGAN DATUK – Nur Adilla Abu Hasan mencatatkan nama dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama berkayak secara solo dalam jarak paling panjang di negara ini.

Kakitangan Jabatan Tanah dan Galian Perak itu mendayung kayak sejauh 361.47 kilometer (km) selama tujuh hari menyusuri Sungai Perak bermula di Tasik Banding di daerah Hulu Perak dan berakhir di Beting Beras Basah di daerah Bagan Datuk di sini.

Nur Adilla, 38, memulakan dayungan pada pukul 8 pagi di Tasik Banding pada 27 Disember lalu dan berakhir di sini pada pukul 9.30 pagi semalam.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menerima pengiktirafan atas pencapaian itu menerusi sijil yang diserahkan oleh wakil MBOR, Nurul Fatihah Mahmood dan Edwin Yeoh pada satu majlis khas di Dataran Bagan Datuk hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Penaung Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Nur Adilla turut menerima wang tunai berjumlah RM13,000 hasil tajaan pelbagai pihak bagi menjayakan dayungan tersebut.

Beliau yang sudah berkecimpung kira-kira tiga tahun dalam sukan berkayak membuat persiapan dan latihan hampir setahun untuk menjayakan misi tersebut.

Menurutnya, ekspedisi itu amat mencabar mental dan fizikalnya kerana sebelum ini paling jauh pernah berkayak ialah 32 km.

“Antara lokasi paling mencabar sepanjang berkayak di Sungai Perak ini ialah mengharungi jeram di kawasan Kenering di daerah Hulu Perak.

“Selain itu, saya terperangkap dalam arus pasang beserta angin kuat sehingga menghasilkan ombak besar dan sukar mendayung di kawasan Sungai Dulang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Nur Adilla juga berdepan pengalaman terperangkap dalam lumpur sehingga paras pinggang kira-kira 20 minit sebelum dapat keluar dengan cara menggoyangkan tubuhnya sedikit demi sedikit dan kembali ke dalam kayak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI