SELEPAS lama berehat daripada kejohanan antarabangsa, pemain-pemain badminton negara akan menyertai saingan kompetitif pertama tahun ini pada Kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok bermula 12 Januari.
Tumpuan sudah pastinya terarah kepada perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang sedang memburu slot ke Jelajah Dunia Akhir 2020 pada 27 hingga 31 Januari depan.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan menegaskan, Zii Jia perlu menggunakan masa sebaik-baiknya di sana nanti memandangkan mereka akan berlepas ke Bangkok seminggu lebih awal.
“Secara jujur, teknik permainan Zii Jia mungkin sedikit menurun tetapi itu perkara biasa kerana sudah lama tidak bermain pada kejohanan kompetitif.
“Kami akan berangkat ke Bangkok Isnin ini (esok), jadi ada masa seminggu untuk buat persiapan. Oleh itu, Zii Jia perlu gunakan masa sebaiknya untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Tambah beliau, mereka akan cuba mengkaji permainan pemain lawan memandangkan kejohanan kali ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan edisi terdahulu.
Walaupun mengakui kejohanan kali ini sukar dijangka, namun Hendrawan yang juga bekas juara dunia percaya anak buahnya itu mampu menampilkan aksi terbaik bagi mencerahkan peluang layak ke Jelajah Dunia Akhir 2020.
“Kejohanan kali ini sangat berbeza dan sukar dijangka kerana kita sudah menjalani norma baharu, namun saya yakin Zii Jia juga mahu buktikan kemampuannya untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir.
“Kali ini waktu latihan semua pasukan tidak sama, jadi kami tidak mempunyai kesempatan melihat gaya permainan pemain lawan,” ujarnya lagi.