fbpx

Mayat Asaari ditemui terapung di Pulau Perhentian Kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Maritim Malaysia membawa mayat Asaari ke Pengkalan Operasi Maritim Malaysia di Tok Bali sebentar tadi.

PASIR PUTEH – Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam, akhirnya mayat seorang lelaki dipercayai Asaari Leh, 46, ditemui dalam keadaan terapung di Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu, petang tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat lelaki tanpa sebarang pakaian ditemui penduduk pulau berkenaan pada pukul 5.30 petang.

“Mayat mangsa dibawa oleh Kapal Maritim Tok Bali dari jeti Pulau Perhentian ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali pada pukul 10 malam ini sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat berkenaan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Besut, Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh waris mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Menurutnya, pengecaman mayat mangsa akan dibuat oleh waris terdekat di Hopstal Daerah Besut malam ini.

Sementara itu, kakak tiri kepada Asaari, Rohana Mohamad, 52, berkata ahli keluarga mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah adik tirinya yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam baru-baru ini.

“Ahli keluarga menerima maklumat penemuan itu pada pukul 6.40 petang tadi.” katanya.

Akhbar Kosmo! kelmarin melaporkan empat nelayan nekad menyelamatkan diri apabila bersama-sama berenang sejauh 13 kilometer selama 14 jam selepas bot yang mereka naiki karam dipukul ombak setinggi empat meter kelmarin.

Kejadian pada pukul 1.30 petang itu berlaku apabila bot yang sarat dengan pukat dan hasil laut dimasuki air selepas dipukul om- bak besar.

Sebaik karam, tekong bot, Tuan Azhar Tengku Long, 47, bersama anaknya, Tuan Azrizal, 17, dan dua lagi awak-awak Norizan Yusof, 45, dan Mohd. Azri Mohd. Rasdi, 28, tidak berpecah sewaktu jatuh ke dalam laut.

Mereka memakai jaket keselamatan berenang ke Pulau Perhentian dekat Besut, Terengganu untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, Asaari terpisah daripada mereka berempat meskipun pada mulanya turut berenang ke arah pulau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI