KLUANG – Seorang lelaki dipercayai hilang selepas hanyut bersama kereta dinaiki ketika melalui Jalan Kluang-Kahang berhampiran Batu 18 di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa bersama isterinya dikatakan cuba melalui jalan tersebut yang dinaiki air banjir.
Isterinya bagaimanapun sempat turun dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba dilokasi Pasukan Keluar Operasi (PKO) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut namun tidak berhasil atas faktor keselamatan dan keadaan air terlalu dalam serta cuaca gelap.
“Pagi ini operasi SAR diteruskan dengan menggunakan sebuah bot untuk menyusuri tali air yang dilaporkan lokasi lelaki berkenaan dihanyutkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akob berkata, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan seramai 15 anggota BBP Kluang bersama sebuah jentera dan bot.
Katanya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui.-K! ONLINE