TAPAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas lemas ketika bermain air di Sungai Jerong dalam kejadian di Kampung Bikam dekat sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Zaini Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.59 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Menurut maklumat daripada ibu bapa mangsa, mereka menjumpai sepasang kasut milik mangsa berhampiran tali air berkenaan.
“Anggota terus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum menjumpainya dari jarak 10 meter dari lokasi dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Zaini, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, keluarga mangsa datang ke Kampung Bikam untuk mengunjungi saudara mereka di sana semalam.
“Bagaimanapun, mangsa, Muhamad Amsyar Mohd. Zamri ke tali air tersebut untuk bermain air pada pukul 10.45 pagi bersama dua adik-beradik dan seorang sepupunya.
“Mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum tiga yang lain berlari memberitahu ibu bapa mereka yang berada di rumah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Tambah Wan Azharuddin, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai lapan anggota bomba manakala masing-masing enam anggota dari polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam keadaan hujan lebat dan arus deras sebelum mangsa dijumpai sejam kemudian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -K! ONLINE