SEPANG – Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas rumah mereka dihempap sebatang pokok setinggi kira-kira 10 meter dalam kejadian hujan ribut yang melanda Kampung Pekan Dengkil dekat sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Kamisah Yusof, 49, bersama lima ahli keluarganya termasuk seorang rakan berada di rumah.
“Waktu itu, hujan lebat beserta angin ribut melanda dan tidak lama kemudian, saya terdengar dentuman yang amat kuat dari luar bilik.
“Saya terus meluru keluar selepas dengar bunyi tersebut dan melihat batang pokok jatuh lalu menghempap bumbung rumah. Ia berlaku betul-betul di depan mata saya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Katanya, angin kuat yang melanda menyebabkan pokok bacang di kebun bersebelahan rumahnya itu tumbang dan menghempap sebahagian bumbung.
“Akibat kejadian itu, hampir keseluruhan bumbung genting rumah saya terutama di bahagian ruang tamu, bilik kedua, bilik ketiga dan tandas bilik keempat rosak teruk.
“Di samping itu, 80 peratus peralatan rumah seperti katil, tilam, perabot turut musnah dengan kerugian dialami kira-kira RM30,000,” katanya.
Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, dalam kejadian tersebut, anak lelakinya, Dini Adly Yafui, 18, turut mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Katanya, memandangkan ketika ini musim hujan, jadi dia dan ahli keluarga terpaksa mengambil inisiatif sendiri menggunakan kanvas sebagai penutup bumbung sementara.
“Kami perlu melakukan sesuatu, jika tidak habis ruang dalaman rumah dimasuki air.
“Anak-anak pun terpaksa tidur di ruangan yang lebih selamat kerana bumbung genting di bilik mereka turut rosak selain masih ada lagi saki-baki batang pokok yang belum dibersihkan,” katanya.
Menurut Kamisah, kejadian pokok tumbang ini bukanlah kali pertama berlaku, kerana sebelum ini bahagian luar rumahnya pernah dihempap pokok kelapa namun tidaklah seteruk kejadian ini. -K! ONLINE