fbpx

Bahagia ‘palsu’ di Instagram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBAHAGIAAN yang ditonjolkan sesetengah orang di laman sosial mungkin sekadar kepuraan-puraan bagi mengaburi kehidupan yang sunyi dan menyedihkan. ­ – GAMBAR HIASAN

RAHIM, 29, merenung sepi skrin telefon bimbitnya. Satu demi satu gambar yang dimuat naik pada kotak akaun sosial Instagram miliknya ditatap sambil mendengus perlahan.

Sambil menghirup secawan kopi, Rahim menghempaskan telefon bimbit warna perak yang baru dibelinya itu di atas meja.

“Saya sunyi. Kalau orang tengok pada laman sosial saya, mereka mungkin mencemburui kehidupan saya dan menganggap saya bahagia.

“Sebaliknya, itu lakonan semata-mata. Realitinya, kebanyakan waktu saya menghabiskan masa bersendirian di dalam kondominium ini,” luahnya membuka bicara.

Memiliki pengikut sehingga belasan ribu, Rahim hakikatnya tidak bahagia.

Membesar dalam keluarga yang kecil membuatkan anak kelahiran Kota Damansara, Selangor ini sering dihimpit kesunyian.

Ketika kecil, masa Rahim bersama abang dan adik perempuannya banyak dihabiskan dengan pembantu rumah memandangkan kedua-dua ibu dan bapa sibuk menguruskan perniagaan masing-masing.

Biarpun dilimpahi kemewahan, ternyata itu tidak cukup untuk menggembirakan Rahim.

“Ketika di bangku sekolah, ramai yang cemburu dengan saya apabila melihat pakaian yang dipakai berjenama selain sering dibawa ibu bapa melancong ke luar negara.

“Jauh di sudut hati, saya yang mencemburui kehidupan mereka kerana mempunyai sebuah keluarga normal yang mana kedua-dua ibu bapa sentiasa ada bersama mereka. Berbeza bagi saya, hari anugerah kecemerlangan pun hanya orang gaji yang menyaksikan saya naik ke pentas mengambil sijil,” katanya.

Cerita Rahim lagi, ramai yang ingin berkawan dengannya. Begitupun, persahabatan yang dicipta itu disifatkan tidak begitu ikhlas kerana mereka hanya ingin mengambil kesempatan atas kesenangan dan kemewahan hidupnya.

“Mereka tahu ibu bapa membekalkan saya wang yang banyak ke sekolah. Apabila waktu rehat, mereka mendampingi saya kerana makanan yang diambil akan turut dibayar oleh saya. Walaupun sedar mereka hanya ingin mengambil kesempatan, namun saya tidak kisah asalkan dapat berkawan bagi meredakan sedikit kesunyian yang dialami,” katanya.

Keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan ditambah pula latar belakang keluarga daripada golongan berada menyebabkan Rahim berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pada waktu itu, Rahim berazam untuk memulakan hidup baharu.

Impian Rahim untuk memiliki sebuah keluarga yang ‘normal’ tercapai apabila dia dipertemukan dengan rakan-rakan senegara yang begitu mengambil berat dan penuh kasih sayang umpama sebuah keluarga.

Hari-hari yang dilalui Rahim bersama keluarga baharunya itu begitu indah sehingga dia tidak mahu pulang ke tanah air ketika cuti semester panjang.

“Buat pertama kalinya saya rasa hidup ini terisi. Banyak yang saya pelajari bersama mereka sepanjang hampir empat tahun. Paling tidak dapat dilupakan apabila solat Hari Raya Aidilfitri. Syahdu rasanya apabila berpeluang berjemaah beramai-ramai sambil melaungkan takbir.

“Pengalaman ini tidak pernah saya lalui sepanjang membesar bersama ibu dan ayah. Terasa kerdil diri ini apabila menyedari banyak yang masih jahil biarpun pada waktu itu sudah 22 tahun saya bernafas di muka bumi,” terangnya.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Kebahagian dikecapi Rahim bersama keluarga baharunya terhenti sebaik kesemua mereka pulang ke tanah air selepas tamat pelajaran.

Akui Rahim, dirinya kembali sunyi dan keseorangan.

“Sebaik kembali ke tanah air, saya hidup menyewa bersama tiga rakan karib di sebuah kondominium sekitar Lembah Klang. Biarpun ditegah keluarga, namun saya berkeras dengan alasan mahu hidup berdikari.

“Tiga tahun berlalu, seorang demi seorang daripada mereka pergi selepas mendirikan rumah tangga. Saya kembali keseorangan dan kesunyian,” jelasnya.

Hampir setahun dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

“Saya cemburu melihat kehidupan mereka yang cukup sempurna. Saya pula sebaliknya.

“Kerana tidak mahu rakan-rakan mengetahui kehidupan saya yang sepi, saya sering memuat naik gambar berhibur bersama teman-teman sekerja di laman sosial. Pada hujung minggu pula, saya memuat naik gambar bercuti di hotel-hotel mewah sekitar Malaysia selain bercuti di luar negara pada hujung tahun.

“Biarpun semuanya palsu, namun sekurang-kurangnya saya tampak bahagia di dunia yang berbeza,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI