PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya peringkat merah, cuaca buruk peringkat jingga dan waspada peringkat kuning di tujuh negeri hari ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, MetMalaysia memaklumkan, cuaca bahaya akan berlaku di dua negeri iaitu Pahang dan Johor.
Katanya, kedua-dua negeri ini dijangka akan menerima hujan sangat lebat berterusan sehingga esok.
“Bagi negeri Pahang daerah yang terlibat adalah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor ia membabitkan daerah Mersing,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bagi amaran peringkat jingga, ia membabitkan negeri Terengganu, Pahang dan Johor.
Katanya, bagi negeri Pahang ia melibatkan daerah Raub, Bentong dan Bera, manakala Johor (Segamat dan Kluang) serta Terengganu di daerah Kemaman.
“Dijangka hujan lebat akan berterusan bagi daerah-daerah yang terlibat sehingga Selasa.
“Bagi amaran cuaca tahap kuning atau waspada ia melibatkan beberapa daerah di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Johor dan Sabah,” katanya.
Tambah MetMalaysia, keadaan cuaca hujan dijangka akan berlaku sehingga Selasa ini bagi ketujuh-tujuh negeri terbabit. – K! ONLIINE