TIADA kata yang mampu dilafazkan selain daripada meluahkan rasa syukur selepas akhirnya disahkan bebas Covid-19 yang dijangkiti pada 21 November lalu. Sungguh, tiada sesiapapun mahu dijangkiti wabak maut tersebut, begitu juga dengan selebriti serba berbakat, Alif Satar.
Tidak terbayang dalam fikirannya bahawa menjadi antara individu ‘terpilih’ yang akan memakai tag pesakit wabak tersebut.
Ketika disahkan positif Covid-19, air mata selebriti berusia 30 tahun itu berguguran. Bukan bimbangkan dirinya seorang, perkara utama yang dirisaukan penyanyi, pelakon dan pengacara itu adalah nasib isteri, Sha Dila Halid, 34, serta tiga orang anaknya, Alisha Anugerah, 4, Ariana Mecca, 2 dan Muhammad Ali, 1, yang berada di rumah.
“Saya dikenal pasti antara kontak rapat kepada sepupu yang telah dijangkiti Covid-19. Ketika itu saya bersama pengurus, Adlina Abu Bakar serta pembantu peribadi, Shamsulidzwan Shamsudin baru sahaja sampai di Melaka untuk penggambaran sebuah drama.
“Atas dasar tanggungjawab, saya telah melakukan ujian calitan Covid-19 untuk memastikan diri sendiri dan orang di sekeliling selamat,” kata selebriti yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti, One in a Million musim pertama ketika berusia 16 tahun itu.
Terduduk
Sekitar 15 minit selepas melakukan ujian tersebut, ternyata keputusan yang diterima adalah positif. Bukan sahaja Alif, bahkan pembantu peribadinya, Shamsulidzwan turut positif Covid-19.
Terkedu bahkan terduduk seketika, dalam benak Alif mula teringatkan momen sebelum memulakan perjalanan ke Melaka, dia sempat memeluk dan mengucup anak-anak serta isteri di rumah.
Pada waktu tersebut, pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu tidak dapat berfikir dengan jelas. Namun yang pasti, dia dikuarantin dan dirawat di Hospital Melaka.
“Saya ada memohon untuk dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, namun ditolak dan perlu menjalani rawatan di Melaka. Sekurang-kurangnya saya akan berada dekat dengan keluarga,” kata pengacara program nyanyian, Big Stage itu.
Ketika memaklumkan perkhabaran menakutkan kepada Sha Dila, tangisan sudah tidak mampu dibendung. Isteri mana yang tidak berasa bimbang apabila berjauhan dengan suami, apatah perlu bergelut melawan wabak Covid-19 yang digeruni semua pihak.
Mujurlah kata Alif, ujian calitan terhadap isteri dan anak-anaknya negatif.
“Namun saya tidak boleh terlalu gembira, kerana selepas itu, saya diberitahu bahawa 14 ahli keluarga yang lain positif wabak tersebut.
“Antaranya ialah kedua-dua ibu bapa saya, adik perempuan dan beberapa saudara-mara lain termasuk datuk saya yang berusia 91 tahun disahkan positif.
“Masing-masing tidak tahu dijangkiti daripada siapa dan dari mana. Sebab kita tidak nampak untuk menuding jari kepada siapa yang harus dipersalahkan,” ujarnya.
Proses spiritual
Selama 12 hari Alif terpisah dengan isteri dan anak-anak, selain kesedihan yang penat untuk ditangisi, tumbuh satu kesedaran dalam diri Alif.
Pada waktu itulah dia mempunyai banyak masa untuk melakukan perkara yang jarang dilakukan sebelum ini.
Sepanjang dikuarantin, hanya dia dan pembantu peribadinya sahaja yang ditempatkan di sebuah blok bagi pesakit Covid-19 di Hospital Melaka.
Di lokasi pengasingan, Alif mengambil kesempatan membentuk spiritual dan memperbanyakkan amalan ibadah yang tidak dapat dilakukan selalu seperti memperbanyakkan mengaji al-Quran dan berzikir.
“Bukan tidak pernah mengaji dan berzikir sebelum ini, cuma jarang dapat dilakukan. Jadi semasa dikuarantin, saya ambil kesempatan sebaiknya untuk memperbanyakkan ibadah termasuk melakukan solat berjemaah setiap hari bersama Shamsulidzwan.
“Kesempatan itu juga saya dapat melihat kegigihan dan kepayahan petugas barisan hadapan memberikan khidmat terbaik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sedar ramai pihak terutama dalam kalangan rakan artis terjejas saat dirinya positif Covid-19, Alif berusaha menelefon rakan-rakan terdekat, terutama mereka yang ada pada malam pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35) pada 20 November lalu untuk memohon maaf.
Kembali aktif
Disebabkan dirinya, rakan-rakan artis terpaksa menjalani kuarantin kendiri sehingga menjejaskan urusan seharian.
“Mereka faham dan mendoakan yang baik-baik sahaja untuk saya. Mereka tidak menyalahkan saya atas apa yang berlaku,” katanya yang dibenarkan discaj dari Hospital Melaka pada 2 Disember lalu.
Dapat kembali ke pangkuan keluarga, hanya Tuhan sahaja yang tahu berapa besar rasa syukur yang melimpah dalam dadanya.
“Bersyukur sangat. Semu ahli keluarga juga sembuh seperti biasa. Nak kata serik itu tidak, yang pasti saya akan lebih berhati-hati dan peka.
“Cuma sekarang ini saya semakin gian nak kayuh basikal. Rasanya dah dua bulan saya tidak melakukan aktiviti berbasikal sampaikan kawan-kawan yang lain dah mula ‘roger’ ajak mengayuh.
“Tetapi nantilah, apabila tiba masa yang sesuai saya akan kembali semula mengayuh basikal,” kata Alif yang bakal muncul dengan sebuah filem bergenre seram, arahan pengarah James Lee tidak lama lagi.
Untuk 2021 juga, Alif terlibat dengan sebuah lagi projek istimewa bersama kumpulan Raihan yang disifatkan sungguh mengujakan.