PETALING JAYA – Selepas empat tahun mengenal hati budi, pelakon yang terkenal menerusi drama Oh My English, Akhmal Nazri, 29, kini selamat mendirikan rumah tangga bersama Alyssa Joanne, 28, pada 31 Disember lalu.
Berita gembira tersebut dikongsi sendiri oleh Akhmal dalam satu perkongsian Instagramnya semalam.
Difahamkan, pasangan yang sudah bertunang pada 25 Disember 2019 itu bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Selangor.
“31 Disember 2020. Ijab dan kabul. Alhamdulillah, selepas empat tahun 15 hari, ku telah menemui kunci hatiku,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, Alyssa yang juga seorang pramugari di sebuah syarikat penerbangan turut bersyukur dengan kehidupan baharu mereka sebagai suami isteri.
“Tanpa sokongan keluarga, kami tidak akan sampai sejauh ini. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ketika pandemik, kami sangat bersyukur dapat menghadapinya.
“Sedih memang ada sebab berjauhan dengan keluarga dan hany mampu lihat menerusi panggilan secara virtual sahaja. Insya-Allah kami akan bertemu kembali tidak lama lagi,” tulisnya dalam satu entri Instagram semalam.
Alyssa yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2015 turut berdoa agar pengacara Jom Singgah itu dapat menjadi suami terbaik buat dirinya.
“Saya harap awak dapat jadi suami yang terbaik, sentiasa di sisi buat selama-lamanya walaupun saya banyak kekuarangan.
“Walaupun tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan sentiasa memperbaiki diri sehingga ke akhir hayat. Saya cintakan awak, Akhmal,” katanya lagi. – K! ONLINE