fbpx

Todak sedia langgar Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Todak memasang impian untuk membawa pulang gelaran juara pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M2 di Hotel Shangri-La, Singapura pada 18 hingga 24 Januari ini.

SELEPAS tampil cemerlang me­rangkul gelaran juara pada kejohanan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia/Singapura (MPL MY/SG) dengan rekod bersih tanpa kalah, kini pasukan ­e-Sukan Malaysia, Todak bersedia untuk membawa pulang gelaran dunia.

Kejohanan Dunia Mobile Le­gends M2 akan berlangsung pada 18 hingga 24 Januari ini di Hotel Shangri-La, Singapura secara tertutup.

Kejohanan tersebut akan melibatkan 12 pasukan daripada sembilan negara berbeza termasuk Brazil, Jepun dan Rusia untuk merebut hadiah wang terkumpul AS$300,000 (RM1.2 juta).

Todak pula diundi berada di dalam Kumpulan B dan akan bertembung dengan pasukan Impunity KH dari Kemboja dan Omega Esports (Filipina).

Meskipun sedar bakal berdepan tugas berat, namun pengurus Todak, Ashi atau nama sebenarnya Mohd. Syazlan Mohd. Rosdi meletakkan sepenuh keyakinan kepada pasukannya untuk melakukan kejutan pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M2.

“Kita akui M2 bukan saingan mudah kerana ramai bintang dunia beraksi pada perlawanan ini. Todak akan tampil sebaik mungkin untuk berentap selaku juara MPL MY/SG pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M2 nanti.

“Pasukan juga telah meneliti setiap kekuatan pasukan lain dan pemain juga telah melakukan persiapan lebih baik berbanding sebelum ini. Kita sedar pasukan yang kita akan hadapi ini bermain dengan agresif.

“Oleh itu, pasukan perlu memahami apa yang mereka hadapi pada perlawanan itu sebelum menerapkan corak permainan yang akan kami gunakan pada saingan itu nanti.

“Setiap pemain ada peranan masing-masing dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan pada perlawanan tersebut. Apa pun, kami tetap meletakkan sasaran untuk membawa pulang kemenangan,” katanya kepada Kosmo! sebelum berlepas ke Singapura malam semalam.

TODAK pernah menamatkan saingan pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M1 di tempat ketiga dan membawa pulang AS$20,000 (RM83,536).

Terdahulu, Todak pernah menamatkan saingan pada Kejohanan Dunia Mobile Legends M1 di tempat ketiga dan membawa pulang AS$20,000 (RM83,536).

“Kami pernah beraksi pada M1 dan sudah pasti saingan M2 lebih hebat. Saya yakin dengan persiapan yang dilakukan pasukan ketika ini, kami mampu melepasi saingan dengan baik untuk kembali bersaing di pentas tertinggi M2 nanti.

“Apa pun saya harapkan doa dan sokongan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong kami dalam perlawanan ini nanti,” tambahnya.

Pasukan Todak telah menjalani ujian Covid-19 di Malaysia dan akan menjalani kuarantin di Si­ngapura. Pasukan tersebut akan menjalani ujian kedua sebelum dibenarkan beraksi pada saingan itu.

Kejohanan Dunia Mobile Le­gends M2 dianjurkan oleh Moonton dengan kerjasama Persatuan Cybersports dan Online Ga­ming Singapura (SCOGA) serta disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Moonton menegaskan bahawa setiap pasukan perlu mengikuti segala peraturan pencegahan dan kawalan Covid-19 agar ke­selamatan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam kejohanan ini dapat dijaga dengan baik.

Pada perlawanan itu nanti, Todak mengekalkan pemain terbaik mereka seperti Muhammad Danial Mohamad Fuad (Ciku), Wan Usman Wan Imran (4Meyz), Mohamad Aiman Idris (Xray), Muhammad Rizwan Abdullah (Eone), Zairul Hazim Zailani (Stoo) dan Zikry Shamsuddin (Moon) mempamerkan aksi cukup luar biasa apabila tidak tewas sepanjang pusingan perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI