PETALING JAYA – Usahawan tudung yang juga bekas isteri kepada pelakon popular, Fizo Omar, Mawar Karim mencetuskan tanda tanya selepas memuat naik beberapa keping foto seakan-akan ingin menggapai tangan seorang lelaki.
Foto yang dimuat naik dalam Instagram itu sekali gus memberi bayangan seolah-olah dirinya kini sedang dimiliki oleh seseorang sekali gus sudah menemui pengganti Fizo.
“Untuk tahun 2021 saya mahukan lebih cabaran, menjalinkan hubungan dengan orang yang baik-baik, belajar tentang perkara positif dan menjadi lebih kuat,” tulisnya pada status hantaran yang dikongsikan.
Pada masa sama, menerusi ruangan InstaStory, wanita berusia 32 tahun itu turut menjawab beberapa soalan daripada pengikutnya, terutama berkaitan dengan jodoh.
Menurut wanita kelahiran Pulau Pinang itu, tiada istilah ‘pengganti’ dapat diberikan dalam perhubungan.
“Tiada istilah pengganti dalam hubungan. Bagi saya ia (lelaki) bukan macam baju boleh ditukar ganti.
“Dalam perhubungan bukan mudah nak jumpa soulmate (teman hidup) yang betul-betul ikhlas dengan kita kerana Allah SWT,” kata Mawar.
Menjawab soalan tentang sama ada dia akan kembali kepada Fizo, Mawar memberitahu perkara tersebut sangat peribadi untuk dikongsikan.
“Maaf terlalu peribadi untuk saya jawab. Benda yang dah lepas tidak perlu dipersoalkan lagi.
“Terima kasih kerana sentiasa memahami saya. Wanita kena kuat untuk terus hidup. Hanya yang pernah lalui perkahwinan dan perceraian sahaja yang faham apa yang pernah saya lalui,” ujarnya.
Terdahulu Mawar dan Fizo telah mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
Bagaimanapun pasangan itu telah bercerai pada Julai 2019. – K! ONLINE