LONDON – Pasukan Tottenham Hotspur kembali berada di landasan kemenangan selepas berjaya mengutip tiga mata pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Leeds United 3-0 sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, Spurs yang gagal meraih sebarang kemenangan pada tiga perlawanan lepas berjaya menguasai saingan dengan gandingan serangan berbisa, Harry Kane serta Son Heung-min banyak mencipta kesukaran buat pasukan pelawat.
Kane akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.
Enggan selesa dengan kedudukan tersebut, skuad kendalian Jose Mourinho itu menggandakan asakan dan kini giliran Heung-min meledak gol kedua buat Spurs dua minit sebelum tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, pemain pertahanan, Toby Aldeweireld berjaya menanduk masuk gol hasil hantaran Heung-min pada minit ke-53.
Bagaimanapun, Spurs diarahkan beraksi dengan 10 pemain selepas bek kanan, Matt Doherty dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.
Namun, keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kini, Spurs berjaya mengumpul 29 mata selepas mengharungi 16 perlawanan liga. – AGENSI