GUA MUSANG – Seramai 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang menuntut lot ladang sawit untuk diusahakan sendiri bakal diselesaikan dalam masa terdekat ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perbincangan berhubung perkara itu akan dilakukan untuk menyelesaikan tuntutan para peneroka.
Katanya, perkara itu termasuk perbincangan pengagihan lot ladang kepada peneroka di lapan lagi RKT Kesedar dalam masa terdekat ini.
“Saya dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kesedar dan peneroka RKT akan menyelesaikan perkara itu yang bermula di RKT Chalil esok.
“Kita berharap pihak Kesedar dapat menyelesaikan tuntutan peneroka yang dinantikan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bulanan UMNO bahagian di Bukit Cekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tempoh percubaan bagi pengagihan lot ladang itu dalam masa tiga bulan dan jika ada mereka tidak mampu mengusahakan boleh diserahkan semula kepada Kesedar.
“Saya sendiri akan menetapkan tarikh untuk berjumpa dengan pengurusan Kesedar dan peneroka bagi bincangkan perkara itu supaya tidak lagi timbul kekeliruan.
“Apabila masalah itu selesai, peneroka yang menerima bantuan sara hidup RM1,000 sudah tidak layak untuk mendapat bantuan itu, namun akan mengusahakan sendiri ladang,” katanya. kepada pemberita selepas Mesyuarat Bulanan UMNO bahagian di Bukit Chekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh turut menegur pegawai Kesedar yang tidak turun padang menemui peneroka bagi membincangkan perkara berbangkit.
Katanya, peneroka tidak mempunyai saluran bagi membangkit masalah yang mereka hadapi khususnya soal pendapatan mereka daripada ladang sawit. – K! ONLINE