GUA MUSANG – Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram Mekah di sini yang bernilai RM32 juta dijangka akan dibuka selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 31 Mac ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipu pembinaan masjid itu sudah siap tetapi masalah pandemik Covid-19 yang belum berakhir itu menyebabkan pembukaan masjid untuk kegunaan jemaah bersolat masih tidak dibenarkan.
Katanya, pembukaan masjid itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat terutama penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah.
“Kita mahu lihat pandemik Covid-19 itu reda dahulu sebelum dibuka masjid ini untuk solat.
“Tetapi, sekiranya Covid-19 masih lagi menular, mungkin kita tangguh untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Masjid Razaleigh di sini malam tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berpuas hati dengan pembinaan masjid baharu itu bagi mengantikan masjid lama yang tidak sudah tidak mampu menampung jemaah yang semakin bertambah.
Katanya, kemudahan masjid berkenaan yang berkeluasan 21,336 meter persegi itu dilengkapi dengan bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam, dewan makan dan ruang solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
“Saya juga kerap menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan dan rakyat beragama Islam dari seluruh negara bertanyakan masjid baharu kerana tidak sabar untuk datang mengerjakan solat.
“Saya sendiri tidak sabar untuk solat di masjid ini. Jika kita buka sekarang, hanya sebilangan kecil rakyat dapat bersolat di sini,” katanya. – K! ONLINE