fbpx

Nafiz Muaz, Diyana selamat disatukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Nafiz Muaz selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Diyana Omar pagi tadi.

PETALING JAYA – Selepas dua kali menunda tarikh majlis pernikahan, aktor Nafiz Muaz, 22, dan ahli perniagaan Diyana Omar, 29, akhirnya selamat disatukan sebagai suami isteri pada pukul 11.30 pagi tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan yang berkenalan sejak tiga tahun lalu itu sah bergelar suami isteri dalam  majlis sederhana di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Omar Ahmad dan disaksikan sekitar 100 orang tetamu.

Pada majlis akad nikah tersebut, pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah yang dikenali menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 itu menyerahkan wang hantaran berjumlah RM30,000 dan mas kahwin RM1001 serta lima dulang berbalas tujuh daripada pengantin perempuan.

“Awalnya kami sepatut bernikah pada Ogos lalu tetapi akibat situasi Covid-19 dan beberapa kekangan lain, kami anjak ke Disember lalu.

“Akhirnya saya dan isteri tidak boleh berkompromi lagi dalam hal menangguhkan majlis kahwin ini. Jadi, kami nekad memilih tanggal 2 Januari 2021 sebagai saksi hari bersejarah.

“Biarpun berlangsung dalam suasana norma baharu selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kami akur dengan ujian yang melanda dunia ini,” katanya yang sedondon bersama isteri menggayakan busana rekaan Calvin Thoo.

Bercakap mengenai suri hatinya, Nafiz cukup selesa mengenali wanita berambut panjang itu.

“Lebih utama dia sangat memahami saya. Kami masing-masing terbuka dalam banyak perkara.

“Insya-Allah kami akan melayari bahtera perkahwinan ini dengan penuh tanggungjawab. Semoga Allah mempermudahkan rencana hidup baharu kami ini,” katanya.

Nafiz atau nama penuhnya, Muhd. Nafiz Muaz Mat Nasir memaklumkan yang mereka akan mengadakan sebuah majlis resepsi pada 21 Januari ini.

Pada Februari nanti, majlis bertandang pula akan diadakan di Sungai Petani, Kedah.

Mengenai anak, masing-masing tidak menolak rezeki jika dikurniakannya dalam masa terdekat.

Setakat ini, Nafiz dan isteri belum merancang untuk memilih destinasi bulan madu kerana Nafiz akan menjalani penggambaran sebuah drama bermula 6 Januari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis perkahwinan mereka. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI