SUDAH berpuluh tahun, minda rakyat Malaysia disuntik dengan semangat Wawasan 2020 apabila matlamat tersebut itu dilancarkan pada 1991. Tahap modenisasi negara juga jelas berbeza jika dibandingkan sekarang dengan tiga dekad lalu.
Penggunaan teknologi dan peranti pintar daripada pelbagai jenama saling berdaya saing bergerak secara progresif bagi mewujudkan kelestarian dinamik dalam kalangan pengguna. Mujurlah kecanggihan yang diperoleh sekarang dapat membantu dalam meneruskan urusan seharian warga dunia, dalam pekerjaan khususnya.
Sejujurnya juga terima kasih buat teknologi. Saat dunia diserang Covid-19, kita sebenarnya cukup bersedia meneruskan setiap kekangan penjarakan fizikal impak akses teknologi yang memudahkan urusan.
Benar Covid-19 meninggalkan kesan mendalam buat semua. Ramai yang terjejas, hilang pendapatan dan juga seperti jatuh ditimpa tangga.
Namun, bayangkan juga jika kita hidup tanpa telefon bimbit dan jaringan internet? Bayangkan kuarantin tanpa telefon atau beli-belah online yang menjadi sebahagian corak kehidupan semua?
Segala rasa dan kisah tersebutlah yang menjadi asas penceritaan single terbaharu nyanyian Zizi Kirana bertajuk Tentu.
Menurut Zizi , Tentu diinspirasi daripada kesan penularan Covid-19 kepada masyarakat.
Dihasilkan oleh Somean, Gnello, AJ dan Zizi sendiri, Tentu mempamerkan sisi berbeza berbanding lagu yang dipersembahkan sebelum ini seperti Eh, Boleh Jalan, Nak Ke Tak Nak Lepak Mamak, ataupun Rahsia Hati.
Tempo yang perlahan dengan makna lirik yang mendalam mencernakan aura melankolik kepada pendengar. Lagu tersebut juga disampaikan secara bersahaja membuatkan pendengar berasa lebih santai dan relaks.
Akui Zizi, lagu itu juga memberi cabaran buatnya kerana tidak pernah membawakan rentak sedemikian di samping makna lirik menyentuh hati.
Berbanding Eh, Boleh Jalan dan Nak Ke Tak Nak Lepak Mamak, ketiga-tiga lagu tersebut lebih terdorong ke arah sindiran sarkastik terhadap sesetengah individu sedangkan Tentu pula lebih bersifat realistik.
Sesekali iramanya kedengaran seperti lagu Everything I Wanted nyanyian Billie Eilish. Kedua-dua lagu tersebut dilancarkan pada tahun yang sama, namun membezakan mereka ialah garis waktu kedua-duanya iaitu Januari bagi Everything I Wanted, manakala Tentu pula diluncurkan sekitar Oktober lalu.
Sedikit persamaan bagaimanapun tidak menjejaskan kualiti Tentu.
Zizi dilihat membuka satu dimensi baharu buat dirinya dengan single berentak perlahan sekali gus membuktikan kemampuannya yang tidak hanya tertumpu terhadap lagu-lagu berentak hip hop dan rap.