fbpx

Lelaki pecah masuk rumah penduduk direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang mengamuk menggunakan cangkul sambil memecahkan cermin tingkap rumah penduduk di Taman Serdang, Sitiawan, pagi kelmarin.

LUMUT – Seorang lelaki membawa cangkul yang mengamuk dan memecah masuk rumah penduduk di Taman Serdang, Sitiawan dekat sini, pagi kelmarin dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Lelaki itu direman selama tiga hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah dan mencuri kenderaan bermotor,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, suspek yang ditahan dengan bantuan orang awam pada hari kejadian itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek membawa lari sebuah motosikal dan sepasang kasut sukan selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Serdang.

Pagi kelmarin, penduduk di kawasan perumahan itu gempar apabila seorang lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju dan membawa cangkul dikatakan mundar-mandir atas jalan raya sebelum memecah masuk sebuah rumah penduduk.

Kosmo! hari ini melaporkan, seorang wanita berdepan situasi menakutkan lebih 15 minit apabila lelaki tersebut mengelilingi rumahnya empat kali sebelum memecahkan cermin tingkap dan jaring jeriji depan rumahnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI