JAKARTA – Tindakan seorang lelaki menggali kubur dan mengambus dirinya menggemparkan penduduk setempat dalam satu kejadian di Indonesia baru-baru ini, lapor laman berita Suara.com.
Kejadian itu dikatakan berlaku di satu tanah perkuburan di Kecamatan Tegal Selatan, Kota Tegal di Jawa Tengah.
Seorang penduduk, Tarsumi berkata, lelaki yang dikenali sebagai Wawan berumur dalam lingkungan 20-an bertindak sedemikian kerana mengalami tekanan perasaan.
“Pada mulanya, dia datang ke warung saya yang terletak bertentangan dengan tanah perkuburan itu dan duduk kira-kira setengah jam.
“Saya sempat memberi wang dan meminta dia pulang ke rumah. Tiba-tiba dia berlari ke tanah perkuburan itu dan menggali tanah menggunakan tangan,” katanya.
Tarsumi berkata, Wawan menggali lubang pada kedalaman kira-kira 70 sentimeter sebelum menimbus badannya.
“Dia menggali lubang itu dengan laju skali, tidak sampai setengah jam kedalamannya sudah capai kira-kira 70 sentimeter.
“Selepas itu, dia berbaring di dalam lubang itu dan menimbus tanah seperti mayat yang dikebumikan,” ujarnya.
Beberapa penduduk kampung mengerumuni kawasan itu untuk menyelamatkan Wawan dan menghubungi polis.
“Polis dan tentera tiba di tanah perkuburan itu, membantu mengangkat Wawan dan membawanya pergi.
“Semasa dibawa pergi, Wawan sempat menyatakan dia sudah mati tetapi dihidupkan semula,” dakwa Tarsumi.
Sementara itu, satu klip video menunjukkan insiden itu tular di media sosial memaparkan seorang lelaki muda berada dalam keadaan berbaring dengan mukanya tersembam ke tanah di antara dua tapak kubur.
Rakaman video kedua pula menunjukkan lelaki itu diangkat sebelum orang ramai menyiram air untuk membersihkan badannya daripada tanah dan lumpur. – Agensi