fbpx

Lapor polis, penguat kuasa jika ada maklumat scam poligami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli

PUTRAJAYA – Lapor kepada polis, Bahagian Penguatkuasan Jabatan Agama Islam Negeri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan tipuan (scam) poligami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, laporan itu penting supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh diambil berdasarkan undang-undang.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak menolak kemungkinan tipuan ini dilakukan sama ada oleh pemohon sendiri atau oleh ejen luar yang menawarkan khidmat pernikahan sindiket.

“Kemungkinan juga ia dilakukan oleh peguam syarie atau oleh kakitangan mahkamah sendiri. Penipuan ini, walau dilakukan oleh sesiapapun, adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, scam poligami itu hanya boleh berlaku sama ada melalui penipuan atau pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah seperti tandatangan isteri sedia dalam akuan penerimaan dokumen mahkamah ataupun penipuan berkenaan alamat sebenar tempat tinggal pemohon.

Beliau berkata, berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam, mana-mana pihak yang telah berpoligami tanpa mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah adalah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali.

Katanya, undang-undang menetapkan mana-mana perkahwinan, sama ada perkahwinan pertama atau perkahwinan poligami yang jika dilakukan tanpa mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa hendaklah didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

“Sebelum pendaftaran perkahwinan tersebut dapat dilakukan, satu permohonan perlulah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi menentukan akad nikah yang dikatakan berlawanan dengan undang-undang tersebut adalah sah menurut hukum syarak ataupun tidak.

“Jika ia sah, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan satu perintah untuk mendaftar perkahwinan tersebut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI