TURIN – Pemain tengah veteran Juventus, Sami Khedira mengakui sudah bersedia untuk mencari angin baharu dengan beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali dalam kariernya selepas jendela perpindahan dibuka secara rasmi semalam.
Sebagai rekod, kontrak Khedira bersama skuad The Old Lady hanya berbaki enam bulan dan bekas pemain antarabangsa Jerman itu sudah dibenarkan berbincang dengan mana-mana pasukan di luar Itali bagi menentukan masa depannya.
Difahamkan, beberapa pasukan EPL seperti Tottenham Hotspur dan Everton berminat untuk mendapatkan khidmat Khedira yang gagal membuat sebarang kemunculan kompetitif buat skuad kendalian Andrea Pirlo musim ini.
Situasi ini kerana Khedira pernah bekerjasama dengan pengurus pasukan Spurs, Jose Mourinho dan Everton, Carlo Ancelotti sewaktu mewakili pasukan Real Madrid sebelum ini.
Kata Khedira, beraksi dalam pentas EPL sememangnya menjadi impiannya dalam melengkapkan pengalaman beraksi di empat saingan liga utama Eropah selepas Bundesliga, La Liga dan Serie A.
“Saya memang minat dengan saingan EPL kerana kepantasan permainan serta taktikal yang cukup agresif dan fizikal. Justeru, jika ada tawaran daripada mana-mana pasukan di England untuk mendapatkan khidmat saya, mungkin saya akan terima tanpa banyak soal.
“Apa yang pasti, saya masih mahu menghormati baki kontrak bersama Juventus meskipun diakui agak kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama musim ini,” katanya.
– AGENSI