PASIR PUTEH – Ibu kepada seorang lagi mangsa bot karam dekat Pulau Perhentian, Besut, Terengganu kelmarin memohon semua pihak mendoakan agar anaknya, Asaari Leh, 45, ditemui segera.
Ibu mangsa, Hurani Awang, 73, yakin anaknya masih selamat kerana dia dilaporkan memakai jaket keselamatan ketika terjun ke dalam laut apabila bot nelayan terbabit karam dipukul ombak besar.
Menurutnya, Asaari keluar dari rumah di Kampung Gong Keding di sini pada pukul 3 petang Rabu lalu selepas menikmati hidangan tengah hari yang dimasaknya.
“Dia meminta saya supaya menyiapkan nasi dan lauk pauk pada hari itu. Permintaan dan perbualan kami ketika itu masih segar dalam ingatan saya.
“Lafaz terakhirnya, ‘Mak masak nasi, kita (saya) nak turun kelaut petang ini’. Ia merupakan ayat terakhir perbualan kami yang membuatkan saya sebak apabila hanya dia seorang yang masih gagal ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Kosmo! hari ini melaporkan empat nelayan nekad menyelamatkan diri apabila bersama-sama berenang sejauh 13 kilometer selama 14 jam selepas bot yang mereka naiki karam dipukul ombak setinggi empat meter kelmarin.
Kejadian pada pukul 1.30 petang itu berlaku apabila bot yang sarat dengan pukat dan hasil laut dimasuki air selepas dipukul ombak besar.
Sebaik karam, kesemua tekong bot, Tuan Azhar Tengku Long, 47, bersama anaknya, Tuan Azrizal, 17, dan dua lagi awak-awak Norizan Yusof, 45, dan Mohd. Azri Mohd. Rasdi, 28, tidak berpecah sewaktu jatuh ke dalam laut.
Mereka memakai jaket keselamatan berenang ke Pulau Perhentian dekat Besut, Terengganu untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, Asaari terpisah daripada mereka berempat meskipun pada mulanya turut berenang ke arah pulau. – K! ONLINE