UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) baru-baru ini mengumumkan ketibaan GR Yaris bagi pasaran tempatan yang dinanti-nantikan peminat jentera berkenaan.
GR Yaris dihasilkan sebanyak 25,000 unit sahaja untuk pasaran global dan 200 unit daripada jumlah berkenaan diperuntukkan bagi pasaran Malaysia.
Bagi pasaran tempatan, GR Yaris Edisi Performance Pack itu dijual pada harga RM299,000 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Setiap GR Yaris yang dibeli akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif. Jentera itu didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Platinum White Pearl (putih), Emotional Red 2 (merah) dan Precious Black (hitam).
Presiden UMWT, K. Ravindran berkata, mereka teruja memperkenalkan jentera tersebut bagi pasaran tempatan.
“Kereta ini yang telah menarik banyak perhatian dan pujian di seluruh dunia menetapkan penanda aras baharu bukan sahaja untuk kenderaan dalam segmennya tetapi juga dengan cara ia dibina.
“Apa yang dapat saya katakan adalah reputasi GR Yaris sebagai sebuah kereta perlumbaan berprestasi memang jauh ke hadapan,” katanya.
Kehadiran GR Yaris sekali gus memperluaskan rangkaian kenderaan Toyota Gazoo Racing (GR) di Malaysia yang kini turut merangkumi GR Supra 3.0 liter dan Vios GR-Sport yang baru dilancarkan.
GR Yaris merupakan sebuah kereta World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya dan satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan.
Jentera itu dibangunkan menggunakan platform unik yang menggabungkan platform GA-B terkini (daripada generasi terbaharu Yaris hatchback) dan bahagian belakang yang diadaptasi daripada platform GAC (digunakan untuk Corolla dan C- HR).
Bentuk depan GR Yaris garang dan mengancam, menyerlahkan identiti kompetitif jentera tersebut.
Bukaan besar di hadapannya mengikut bentuk radiator malah direka untuk prestasi penyejukan maksimum manakala bukaan udara menegak di kedua sisi bampar hadapan berfungsi untuk menyejukkan brek.
Permukaan dengan tekstur di bampar hadapan berfungsi untuk menyerlahkan kedudukannya agar tampil lebih lebar dan rendah.
Pada bahagian belakangnya pula, GR Yaris mendapat sentuhan bumbung tirus yang disempurnakan dengan spoiler GR.
GR Yaris dilengkapi dengan rim aloi diperkukuh bersaiz 18 inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18 eksklusif untuk edisi Performance Pack.
Lencana khas GR juga menghiasi bampar depan, fender depan dan pintu belakang.
Dikuasakan enjin tiga silinder 1,618cc DOHC dan intercooler turbocas, GR Yaris mampu menghasilkan kuasa maksima 261PS pada 6,500rpm dan tork 360Nm pada 3,000 hingga 4,600rpm.
GR Yaris didatangkan dengan kotak gear manual enam kelajuan dengan fungsi Intelligent Manual Transmission (i-MT).
Fungsi ini mengesan operasi penukaran gear oleh pemandu dan memadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan rasa yang lancar dan selesa ketika peralihan gear.
Tombol gear diletakkan tinggi di konsol tengah dan lebih dekat dengan roda stereng untuk membolehkan pemandu menukar gear secara lebih pantas. Pergerakan penukaran gear juga dipendekkan dan diringankan untuk rasa kawalan yang lebih tinggi.
Dengan menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), GR Yaris menawarkan mod pemanduan Normal, Sport dan Track.
Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui gandingan tindak balas tinggi dan klac jenis multiplat yang dikawal secara elektronik.
Dalam mod Normal, tork ialah dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang manakala mod Sport agihan tork adalah 30:70 sementara dalam mod Track, agihan tork adalah 50:50 yang seimbang.
Jentera yang memiliki berat 1,280 kg itu menggunakan beberapa material untuk pembinaan badan luarannya bagi mencapai nisbah kuasa kepada berat yang dikehendaki serta keteguhan kerangka yang ideal.Ini termasuk bahagian bumbung yang diperbuat daripada material karbon baharu yang ditempa serta C-SMC (carbon sheet moulding compound).
Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan tetapan yang ditentukan untuk memaksimumkan cengkaman tayar.
Bar antiroll depan bagi edisi Performance Pack lebih tebal dan diameter spring pada suspensi depannya ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan.
Kuasa pemberhentian datang daripada cakera brek dua bahagian berliang dengan saiz 356 milimeter (mm) dan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan.
Sementara itu, cakera berliang dalam saiz 297mm dengan angkup GR merah aluminium dua omboh pula dipadankan di bahagian belakang.
Rangka tempat duduk GR Yaris juga ringan namun tetap teguh dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah.
Bahagian dalaman kereta itu hitam keseluruhannya, dengan perincian trim rona perak di pemegang pintu dalam, lubang udara sisi dan konsol tengah.
Ia turut dilengkapi dengan pedal sukan aluminium yang digerudi dengan permukaan yang lebih luas.
Paparan maklumat dalam GR Yaris terdiri daripada meter analog yang menampilkan angka putih dengan penunjuk merah untuk pemanduan sport dengan jarak pandang tinggi.
Ia digabungkan dengan paparan multi-maklumat berwarna TFT 4.2-inci (MID), malah GR Yaris juga mempunyai head-up display (HUD).
Aspek hiburan disediakan dalam bentuk skrin sentuh tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto Connectivity, radio FM, USB, Bluetooth dan sistem audio enam pembesar suara.
Berpandukan tahap keselamatan yang tinggi untuk sebuah kereta WRC, GR Yaris diperkasakan dengan sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC).
Dilengkapi dengan perlindungan enam-beg SRS, ciri keselamatan yang lain termasuk Hill-Start Assist Control (HAC).
Jentera itu boleh didapati di semua cawangan GR Garage.