PASIR PUTEH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh hari ini menaikkan bendera merah di kawasan pesisir Pantai Tok Bali di sini ekoran laut bergelora dan angin kencang yang melanda ketika ini.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pemasangan bendera merah itu menunjukkan kepada pengunjung dan penduduk supaya tidak mendekati kawasan persisir pantai.
Menurutnya, larangan itu merangkumi aktiviti seperti mandi-manda, menangkap ikan dan sebagainya.
“Semua aktiviti itu boleh dikhuatiri akan mendedahkan orang ramai kepada bahaya seperti lemas,” katanya.
Tinjauan Kosmo! mendapati, keadaan ombak di persisiran Pantai Tok Bali bergelora dan bahaya untuk sebarang aktiviti.
Difahamkan, fenomena yang berlarutan sehingga esok itu menyebabkan keadaan laut bergelora dan dengan tinggi ombak mampu mencecah 3.5 hingga 4.5 meter.
Selain itu, ia turut disertai oleh tiupan angin kuat yang berkelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Nor berkata, APM Pasir Puteh turut melakukan rondaan secara bergilir-gilir di persisiran di kawasan tersebut.
Katanya, rondaan pada pukul 10 pagi hingga 5 petang itu bagi mencegah orang ramai dari melakukan sebarang aktiviti di kawasan persisir pantai ketika ini. – K! ONLINE