PUTRAJAYA – Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang layak dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 serta belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Beliau berkata, peminjam PTPTN boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac depan.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.
“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 19 Mac hingga 31 Disember tahun lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19. -K! ONLINE