KOTA BHARU – Seorang pendakwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Budak mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau dan perbuatan amang seksual terhadap bekas pelajarnya dua tahun lalu di dua mahkamah berasingan hari ini.
Terdahulu, tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Machang.
Tertuduh didakwa atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan memegang kemaluan seorang lelaki yang berusia 22 tahun.
Kesalahan itu dilakukan oleh Syamsul Zaman di sebuah rumah di Kampung Awah, Paloh Rawa dekat Machang kira-kira pukul 1 pagi pada bulan Mei 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan sebagai tarikh 1 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Selepas itu, Syamsul Zaman didakwa atas dua lagu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap bekas pelajarnya yang berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan pertama di mahkamah itu, Syamsul Zaman didakwa dengan maksud seksual telah meraba seorang kanak-kanak berusia 15 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama kira-kira pukul 10 pagi pada 22 Ogos 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah membuatkan kanak-kanak itu memegang kemaluannya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Syamsul Zaman didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan 28 Januari sebagai sebutan semula kes.
Pendakwaan ketiga-tiga pertuduhan di dua mahkamah itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Sharudddin Mohamed.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh kedua-dua mahkamah.-K! ONLINE