MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui masih terlalu awal untuk pasukannya itu bercakap mengenai peluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Kejayaan menewaskan Wolverhampton Wanderers menerusi gol lewat permainan oleh Marcus Rashford melonjakkan kedudukan United ke tangga kedua liga, dua mata dibezakan dengan pendahulu Liverpool.
Keputusan itu juga menyaksikan United meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan tetapi Solskjaer belum bersedia untuk membincangkan peluang mereka menamatkan kemarau kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun, pengurus dari Norway itu mengakui pasukannya memiliki kepercayaan yang tinggi dan mampu menjadi lebih baik berbanding pasukan lain.
“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai gelaran selepas mengharungi 15 perlawanan. Anda boleh hilang kelayakan untuk bersaing pada 10 perlawanan awal.
“Mungkin selepas 15 lagi perlawanan kami akan mula bercakap mengenai peluang memenangi gelaran tersebut.
“Namun, kepercayaan terhadap keinginan tersebut sudah ada. Kami turun menghadapi perlawanan dengan matlamat untuk memenanginya tanpa mengira siapa lawan dan di mana kami beraksi.
“Aksi di tempat lawan kami sudah buktikan kemampuan dan kini cuba menambah baik aksi di tempat sendiri. Keputusan kali ini benar-benar memberikan kami keyakinan dan membuktikan sikap untuk berjaya,” katanya.
Solskjaer turut memuji aksi tonggak utama, Bruno Fernandes yang terus memainkan peranan penting dalam mencipta jaringan apabila melakukan umpanan yang berjaya disudahkan oleh Rashford. – AGENSI