GUA MUSANG – Seorang polis bantuan dan seorang warga Myanmar ditahan selepas dipercayai memiliki 2,952 botol ubat batuk dan 430 batang pokok ketum dalam serbuan pihak polis di sebuah rumah di Felda Aring 1 di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 1.20 pagi, polis turut menemui sebanyak 14 ekor burung spesies dilindungi di dalam sebuah bangsal berhampiran rumah yang menjadi tempat tinggal suspek warga asing itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis menemui sebanyak 72 botol ubat batuk sewaktu menjalankan pemeriksaan di dalam rumah polis bantuan yang berusia 32 tahun itu.
Katanya, hasil soal siasat, suspek kemudiannya telah membawa polis ke sebuah lagi bangsal tempat tinggal warga asing berusia 23 tahun di kawasan berhampiran.
“Pemeriksaan di dalam bangsal itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 2,880 botol ubat batuk dan empat guni putih berisi daun ketum. Siasatan di halaman rumah turut menemui 430 anak pokok ketum dalam polibeg dipercayai untuk dijual.
“Polis turut merampas 14 ekor burung spesies dilindungi sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini yang turut dihadiri Pegawai Penyiasat Jabatan Perhilitan Gua Musang, Noriza Abd. Ghani.
Choon Foo berkata, jenis burung yang dirampas iaitu burung murai batu Sabah, murai batu tempatan, burung kepala keras, burung murai buluh, burung daun hijau, burung hantu, burung kedidi pantai dan burung ruak-ruak yang bernilai RM1,330.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2), Seksyen 15 (1) A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.-K! ONLINE