SEREMBAN – Seorang pemandu treler yang membawa muatan tar maut akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berat di Kilometer 273.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 6.37 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan tar dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun telah melanggar sebuah treler membawa muatan baja.
“Akibat pelanggaran itu, treler membawa muatan tar itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pula sebuah lori kontena jenis Scania yang membawa muatan barangan plastik yang berada di lorong paling kiri jalan.
“Mangsa pemandu treler Volvo berusia 39 tahun yang membawa muatan tar lelah tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Fazley berkata, bagaimanapun, pemandu treler yang membawa muatan baja berusia 55 tahun dan pemandu kontena berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-K! ONLINE