KUALA LANGAT – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menafikan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan penutupan Pasar Awam Banting, kelmarin.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, pihaknya sentiasa memastikan SOP diikuti di semua pasar awam kendalian MPKL dalam mengelak penularan Covid-19.
Menurut beliau, ini termasuk pemeriksaan suhu kepada semua peniaga, pekerja serta pungunjung, penyediaan cecair pembasmi kuman dan kawalan penjarakan sosial.
“Seluruh pasar awam MPKL termasuk Pasar Awam Banting akan disanitasi secara berkala dua kali seminggu dan tiada keperluan untuk semua pasar awam disanitasi tiga kali sehari.
“Selain itu, MPKL telah membelanjakan wangnya sendiri berjumlah lebih RM200,000.00 untuk pembelian bahan pembasmi kuman sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penutupan Pasar Awam Banting yang ditutup selama 10 hari bermula kelmarin disebabkan ketidakpatuhan terhadap prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini termasuk tiada kawalan penjarakan, rekod pembasmi kuman sebanyak tiga kali sehari dan saringan tanda gejala kepada pekerja.
Jelas Amirul, Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga memberi bantuan rondaan sekitar semua pasar awam di daerah Kuala Langat bagi memastikan semua peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang telah ditetapkan KKM.
Sementara itu, berdasarkan laman rasmi Facebook MPKL mendapati ujian saringan Covid-19 telah dijalankan pada hari ini kepada semua peniaga dan pekerja Pasar Awam Banting yang dianggarkan kira-kira 101 individu oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dengan kerjasama MPKL, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 25 kes Covid-19 telah dikesan berkaitan Pasar Awam Banting yang ditutup bermula pukul 1 tengah hari kelmarin. -K!ONLINE