PETALING JAYA – Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil bagi membuat pengecaman satu mayat lelaki yang ditemui terapung di Taman Tasik Prima, Puchong pada 17 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui pada pukul 7.55 pagi oleh orang ramai.
“Ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap berseluar pendek warna hijau dan berbaju kemeja lengan panjang warna putih serta tiada sebarang dokumen diri ditemui
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan kesan jerutan tali di leher,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh tampil ke mana-mana balai polis.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-750 6606.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum diketahui,” jelasnya. – K! ONLINE