MILAN – Bintang Inter Milan, Romelu Lukaku menganggap dirinya sebagai salah seorang daripada lima penyerang terbaik di dunia berdasarkan kecemerlangan semasa dipamerkan bersama pasukannya ketika ini.
Lukaku, 27, kembali mempamerkan prestasi terbaik sejak menyertai Inter daripada Manchester United pada Ogos tahun lalu apabila sudah menjaringkan 49 gol sepanjang dua musim bersama gergasi Itali itu.
Penyerang antarabangsa Belgium itu juga sudah meledak 11 gol daripada 12 perlawanan Serie A musim ini.
“Saya tidak mahu meletakkan ranking antara satu hingga lima tetapi saya sudah berada dalam kelompok itu jika dinilai berdasarkan prestasi lima bulan kebelakangan ini.
“Saya amat berbahaya apabila di hadapan gawang gol pihak lawan. Antara kekuatan utama saya ialah ketepatan rembatan dan kepantasan untuk menewaskan pemain lawan walaupun dalam situasi saya sedang membawa bola,” kata Lukaku.
Kehebatan Lukaku turut diiktiraf bekas penyerang Inter dan Itali, Christian Vieri yang percaya bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski tidak mampu menjaringkan banyak gol jika bermain di bawah bimbingan Antonio Conte.
Sebagai rekod, Lukaku adalah penjaring terbanyak Belgium dengan 57 jaringan daripada 89 perlawanan, 25 gol mengatasi pencabar terdekat iaitu pemain sayap berbahaya Real Madrid, Eden Hazard. – AGENSI