TANAH MERAH – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyimpanan bangkai harimau dan gading gajah di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, Kampung Ipoh di sini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini dikeluarkan terhadap suspek yang berusia 25 tahun oleh Majistret Mohd. Zul Zakiquddin Zulkifli.
Suspek ditahan reman untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 7.50 pagi tadi dengan menaiki kenderaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan polis berjaya membongkar tempat penyimpanan seekor harimau belang dan seekor harimau kumbang yang sudah mati diburu dalam serbuan di sebuah rumah di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 7.40 pagi itu, polis turut merampas 10 batang gading gajah yang dipercayai akan dijual menerusi pasaran gelap di negara ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai penjaga rumah dan terlibat dalam sindiket penyimpanan spesies haiwan yang dilindungi itu.
Katanya, berdasarkan siasatan, dua ekor harimau berusia lebih 10 tahun dan gading-gading gajah itu dianggarkan bernilai RM500,000 mengikut harga pasaran telah disimpan di dalam peti sejuk di dalam rumah itu sejak April lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1)(b) dan Seksyen 68 (2)(c) Pemuliharaan Hidupan Liar.