GUA MUSANG – Kegiatan seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah mencuri komponen tembaga di sebuah sekolah menengah di Sungai Asap di sini sejak tiga bulan lalu akhirnya terbongkar apabila dicekup polis kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, suspek berusia 24 tahun itu tidak sempat menjual hasil tembaga seberat 45 kilogram yang dianggarkan bernilai RM30,000.
Katanya, kejadian itu disedari oleh tukang kebun sekolah apabila terdengar bunyi yang mencurigakan dari arah longkang besar di belakang sekolah itu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, tukang kebun sekolah terdengar bunyi orang mengetuk besi dalam longkang besar.
“Dia telah membuat tinjauan sebelum melihat suspek sedang leka menggulung wayar tembaga. Tukang kebun itu telah meminta bantuan seorang pengawal keselamatan untuk menangkap suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Choon Foo berkata, siasatan mendapati, suspek tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh telah mencuri kabel tembaga sebanyak tiga kali di sekolah itu sebelum ini.
Katanya, dengan penahanan suspek, polis percaya telah menyelesaikan kes kehilangan komponen tembaga yang berlaku di sekolah itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.