PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan memberi kebenaran kepada sebuah aplikasi pemberi pinjam wang ‘Elektronik-Dana’ untuk menggunakan jata kementerian di dalam tawaran iklan pinjaman wang menerusi aplikasi tersebut seperti yang ditularkan di media sosial.
Menerusi satu kenyataan, KPKT berkata, aplikasi pemberi pinjam wang itu tidak berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] yang dikawal selia oleh pihak kementerian.
“Berdasarkan semakan oleh Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, aplikasi tersebut merupakan sebuah aplikasi pemberi pinjam wang yang tidak berdaftar,” katanya di sini hari ini.
KPKT berkata, sehubungan itu, orang awam diminta untuk lebih berhati-hati sebelum melakukan sebarang urusan pinjaman dengan membuat semakan status sesebuah syarikat pemberi pinjam wang menerusi aplikasi yang telah dibangunkan oleh KPKT iaitu i-KrediKom.
Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan maklumat kepada https://aduan.kpkt.gov.my untuk tindakan lanjut.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT di talian 03-889 1466.
Terdahulu tular di laman sosial satu perkongsian aplikasi ‘Elektronik-Dana’ yang dipercayai menyalahgunakan jata kementerian bagi tujuan iklan tawaran pinjawan wang dalam talian. -K! ONLINE