fbpx

Jalan Universiti ditukar kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda sekaligus memutuskan pertukaran nama Jalan Universiti di Petaling Jaya kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz. FOTO : Selangor Royal Office

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya dekat sini dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz pada kadar segera.

Sultan Sharafuddin bertitah, ia sebagai mengabadikan nama tokoh tersohor tanah air bagi mengenang jasa dan bakti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.

“Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana merupakan jalan pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti MAHSA,” titah baginda menerusi laman rasmi Selangor Royal Office sebentar tadi.

Untuk rekod, Allahyarham Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di UM di Singapura bermula tahun 1952 hingga 1961 sebelum dilantik pula ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, UM di Kuala Lumpur dari tahun 1962 sehingga 1965.

Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer adalah jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur. Ia dibina pada tahun 1960 dan merupakan jalan dua hala pertama di Malaysia.

Jalan itu menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuhraya Persekutuan, Jalan Prof. Khoo Kay Kim, Jalan Dato’ Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat Baginda sekaligus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan.

Allahyarham Ungku Abdul Aziz meninggal dunia pukul 4 petang, pada 15 Disember lalu akibat sakit tua pada usia 98 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI