PETALING JAYA – Cadangan supaya golongan muda berusia antara 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal berkapasiti kecil atau elektrik berkuasa rendah bertujuan menjaga keselamatan golongan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, perlu ada kawalan terhadap golongan itu kerana banyak kes kemalangan motosikal melibatkan mereka.
“Bagaimanapun itu cuma cadangan peribadi saya. Ia bertujuan bagi mengawal remaja bermotosikal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beberapa portal berita semalam melaporkan zaman remaja menunggang kapcai berkuasa 70cc ke atas mungkin berakhir tidak lama lagi.
Ia selepas Bakri mengemukakan cadangan diwujudkan satu kategori pelesenan baharu bagi anak muda berusia 16 hingga 20 tahun iaitu hanya boleh menunggang motosikal di bawah 70cc menjelang tahun 2025.
Saiz enjin bagi kebanyakan model kapcai adalah antara 50cc hingga 125cc walaupun ada antaranya memiliki enjin yang lebih besar sehingga 150cc.
Dalam rakaman audio Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-60 tahun lalu, Bakri dipetik berkata, cadangan itu perlu memandangkan jumlah remaja terbabit kemalangan jalan raya sangat tinggi.
Beliau menyifatkan model kapcai yang dijual di pasaran hari ini sebagai ‘sumber mendorong kehancuran generasi muda’, khasnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
“Saya beri contoh model popular dalam kalangan pemuda, 150cc ‘Y Suku’ (Yamaha Y15ZR). Kapcai ini mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, beliau tidak menolak cadangan tersebut mungkin baik untuk keselamatan golongan remaja.
Bagaimanapun, kata beliau, kajian lebih mendalam sejauh mana keberkesanan cadangan itu dapat mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan golongan muda perlu dilakukan.
Menurut beliau, remaja yang dibenarkan menunggang motosikal berkuasa bawah 70cc tetap berisiko mengalami kemalangan dan mungkin ada yang akan melakukan pengubahsuaian enjin supaya lebih laju.