BRIGHTON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui kemenangan tipis 1-0 ke atas Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex awal pagi semalam sebagai keputusan yang penting.
The Gunners kini seolah-olah sudah kembali ke prestasi sebenar, terutamanya ketika membenam Chelsea 3-1 Ahad lalu selepas mengharungi beberapa aksi mengecewakan.
Lebih manis, kemenangan ke atas Brighton membolehkan Arsenal melonjak ke tangga ke-13 liga, sembilan mata dibezakan dengan pasukan-pasukan di zon penyingkiran.
“Saya tahu kami berdepan kesukaran untuk dapatkan kemenangan sebelum ini. Kemenangan ke atas Chelsea sebelum ini membangkitkan semangat kami untuk tampilkan aksi lebih baik.
“Saya gembira dan bangga dengan prestasi semua pemain. (Alexandre) Lacazette juga sudah menemui keyakinan dan bermain sangat baik pada perlawanan ini,” kata Arteta.
Meskipun berjaya memungut tiga mata, namun pengendali dari Sepanyol itu tetap mengesan beberapa kelemahan yang ada dalam skuad kendaliannya itu.
“Walaupun gembira dengan kemenangan tetapi saya boleh nampak kami masih belum cukup bagus dalam beberapa aspek. Bagaimanapun, apa yang paling penting kami sudah kembali ke prestasi sebenar,” ujarnya. – AGENSI