PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia di dalam negara mahu pun yang berada di luar negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun sepanjang tahun 2020, negara yang kita cintai bersama ini dilanda pelbagai ujian.
“Ujian-ujian ini adalah sunnatullah bagi menguji hamba-hambaNya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.
“Penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek. Wabak ini juga bukan sahaja mengancam keselamatan diri, malah menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara dan sosio-ekonomi rakyat,” ujar beliau melalui satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, baginda berdua amat prihatin terhadap nasib rakyat dan turut sama merasakan segala keperitan hidup rakyat, terutamanya golongan yang telah kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak Covid-19 ini.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa
pulih seperti sedia kala.
“Semoga dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan nanti akan dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara sekian lamanya,” kata beliau.
Sementara itu, dalam menzahirkan rasa kegusaran terhadap kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19, baginda berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.
“Sesungguhnya, baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ianya amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara.
“Dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik, supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik.
“Sebaliknya, ahli-ahli politik disarankan untuk bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara,” kata beliau.
Seharusnya jelas beliau, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan berserta dengan keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Allah S.W.T sentiasa membantu orang-orang yang berusaha dan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu, kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian,” kata beliau. – K! ONLINE.