OTTAWA, Kanada – Sebuah keluarga terdiri daripada 12 adik-beradik mencatat rekod dunia Guinness World Records apabila kombinasi umur mereka berjumlah 1,042 tahun, lapor laman berita United Press International.
Keluarga D’Cruz itu menetap di bandar London dalam wilayah Ontario, Kanada.
12 adik-beradik keluarga itu masih hidup dan masing-masing berumur antara 75 tahun hingga 97 tahun. Umur mereka apabila digabungkan adalah berjumlah 1,042 tahun dan 315 hari.
Salah seorang adik-beradik tersebut, Genia Carter berkata, dia merupakan adik bongsu keluarga itu dan berumur 75 tahun manakala abang sulungnya pula berusia 97 tahun dan masih sihat.
“Pada mulanya, saya sukar mempercayai bahawa nama kami tercatat dalam Guinness World Records kerana sepanjang pengetahuan saya, rekod dunia biasanya adalah untuk orang yang paling tinggi atau paling pendek.
“Saya terkejut apabila mengetahui perkara seperti ini juga diambil kira tetapi dalam masa yang sama, teruja serta bersyukur kerana semua adik-beradik kami masih hidup,” katanya kepada akhbar London Free Press.
Genia berkata, dia dan adik-beradiknya membesar di Pakistan. Menurut wanita itu, abang sulungnya merupakan orang pertama yang berhijrah ke Kanada untuk mencari wang bagi membawa mereka sekeluarga berpindah ke negara itu.
“Seorang daripada kami telah berpindah ke California di Amerika Syarikat, manakala seorang lagi berhijrah ke Switzerland. Adik-beradik lain pula masih menetap di Kanada.
“Hubungan kami sangat rapat dan kami adik-beradik akan membuat panggilan video setiap hari untuk bertanya khabar masing-masing,” ujarnya.
Tambah Genia, mereka tidak pernah bergaduh dan amat mengambil berat antara satu sama lain. – Agensi