KOTA KINABALU – Tiada sebarang laporan berkaitan isu kartel daging dilaporkan di Sabah setakat ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Ariffin Arif berkata, semua produk daging mematuhi standard halal ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Ujarnya, semua aspek mengenai status halal di Sabah ketika ini masih terkawal.
“Oleh itu, masyarakat di negeri diminta tidak bimbang dengan situasi berkaitan kes isu halal kartel daging seperti berlaku di Johor baru-baru ini.
“Semua kementerian serta jabatan yang berkenaan sentiasa melaksanakan pemantauan secara berterusan malah kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat dalam penguatkuasaan dan pengawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Berkaitan Isu Kartel Daging sebentar tadi.
Operasi bersepadu berkenaan membabitkan beberapa premis pengimport serta pengedar daging halal sekitar bandar raya.
Dalam pada itu, Mohd. Arifin turut memaklumkan terdapat sembilan syarikat diiktiraf sebagai pengimport daging halal selain 31 pengedar yang mendapat pengesahan sijil halal dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa di Sabah. – K! ONLINE