TIGA figura itu sering menjadi sebutan peminat gara-gara momentum populariti setanding kualiti yang menjadi perhiasan seni mereka selama ini.
Dihitung dari segi nyanyian, penciptaan lagu mahupun pencapaian yang telah diraih, tiga anak muda, Hael Husaini, Haqiem Rusli dan Naim Daniel itu selayaknya berada di papan atas dalam senarai pengkarya terbaik tahun ini.
Di sebalik pencapaian agak cemerlang sepanjang tahun, seperti setiap individu normal lain, mereka juga terkesan dengan tahun 2020 yang berbekas di hati.
Pandemik Covid-19 ternyata memberi dampak luar biasa buat semua. Sehingga kini, masih ramai yang tercari-cari arah memulihkan kewangan, moral termasuk kesihatan yang terjejas, semua itu berlegar dalam pemerhatian Hael, Haqiem dan Naim.
Hael percaya rezeki
Buat Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 33, dia bersyukur kerana masih diberi ruang untuk berkarya pada tahun yang cukup mencabar ini.
“Kita memang tidak menyangkal bahawa tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar disebabkan pandemik Covid-19.
“Kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar perjalanan hidup kita semua dipermudahkan.
“Alhamdulillah, saya masih diberi kudrat dan rezeki untuk bekerja dalam bidang yang saya cintai walaupun dengan keadaan yang terhad.
“Saya faham dengan apa yang berlaku dan saya percaya kita semua dapat mengharungi semua ini dengan hati yang terbuka. Nak tak nak, kita tetap kena teruskan kehidupan ini dengan penuh tabah,” ujar pelantun lagu Hati itu.
Untuk Hael, dia boleh tersenyum lebar kerana tiga lagu ciptaannya iaitu Hati, Belenggu Rindu dan Peluang Kedua berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).
Biarpun dihadapkan dengan bermacam kecaman, Hael berlapang dada dan percaya, rezeki datang daripada Allah SWT.
“Saya amat berterima kasih dan bersyukur tiga lagu saya berjaya mara ke AJL35.
“Persiapan saya akan fokuskan kepada lagu nyanyian penyanyi lain dahulu iaitu Belenggu Rindu dan Peluang Kedua, kemudian barulah saya akan fokus terhadap lagu nyanyian sendiri, Hati.
“Ramai yang tak berpuas hati apabila Hati juga mara ke AJL tapi saya hanya mampu kata, semua ini rezeki.
“30 lagu yang bertanding semua hebat dan mereka semua adalah sahabat saya dalam industri.
“Saya doakan rezeki semua orang. Kalau bukan tahun ini, mungkin tahun akan datang,” katanya.
Pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘a force to be reckoned with’ (kekuatan yang harus diperhitungkan) mungkin sesuai untuk menggambarkan pencapaian Haqiem Rusli untuk tahun 2020.
Dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 dan tidak lama kemudian menang besar dalam Anugerah MeleTOP Era 2020, pemilik nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 22, itu tetap merendah diri.
Tahun Haqiem Rusli
Katanya, prinsip yang dipegang adalah sentiasa melakukan perkara yang disukai.
“Tahun ini macam tahun kebangkitan buat saya. Rasanya orang tahu sebelum ini saya teruk dikecam kerana isu depresi, sampai saya rasa ingin berhenti buat apa yang saya suka iaitu menyanyi.
“Sehinggalah saya sedar apa yang penting sebenarnya adalah niat kita dalam melakukan sesuatu.
“Kalau kita jujur dengan apa yang kita kerjakan, insya-Allah akan ada ganjaran pada penghujung hari.
“Apa pun, saya tidak akan berada pada tahap sekarang kalau tidak kerana mereka yang sentiasa berada di belakang saya terutama para peminat,” ujar pelantun lagu Lembah Kesepian itu.
Tahun 2020 menyaksikan Haqiem menghadiahkan dirinya dengan kereta mewah Mercedes Benz GLC 20 yang dianggarkan berharga RM290,000.
Tidak lama selepas itu, dia menunaikan hasrat ibunya, Nazrah Ahmad Nordin untuk memiliki kereta baharu jenis Proton X70 yang dianggarkan bernilai RM122,800.
Benar, rezeki memang tidak pernah salah alamat.
Naim Akur
Pemenang keseluruan AJL edisi tahun lalu, Naim Daniel pula akur dengan keputusan juri Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya, Sembah gagal mara ke
AJL35, biarpun sebelum itu menjadi antara naskhah taruhan ramai ke pentas berprestij tersebut.
Kata Naim, juri yang terbabit lebih tahu apa mereka lakukan dan inginkan dalam sesebuah lagu seterusnya layak ke AJL.
“Saya akur dengan keputusan juri SFMM35. Sebab mereka lebih tahu dan saya tidak ada sebarang bantahan.
“Saya hanya mendoakan yang terbaik dan insya-Allah akan hasilkan lebih banyak karya baharu untuk industri muzik Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Naim menafikan kecewa dengan keputusan dibuat berdasarkan satu perkongsian dalam Instagram yang menunjukkan dia mengelap trofi kemenangan pada AJL34.
“Kecewa, langsung tidak. Itu hanya simbolik sebagai menutup tirai edisi ke-35 kali ini.
Keterangan hantaran yang dimuat naik pun saya ada mendoakan semua finalis untuk buat yang terbaik dan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya yang kini popular dengan lagu Purnama.
Hael, Naim dan Haqiem berkolaborasi dalam lagu terbaharu berjudul Lara yang kini kian meniti di bibir peminat.
Menjawab sama ada lagu tersebut mencedok inspirasi daripada lagu Beribu Sesalan nyanyian Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor, jawab Hael: “Disamakan dengan lagu Beribu Sesalan yang menjadi kesukaan ramai rakyat Malaysia, saya berbesar hati, namun lagu Lara mempunyai kekuatannya tersendiri.”