fbpx

Selamat tinggal tahun duka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

TINGGAL sehari lagi kita akan meninggalkan tahun 2020. Satu tahun yang merakam sejarah baharu kedukaan kepada sesiapa yang hidup pada tahun ini.

Tidak ada sesiapa yang menduga bahawa tahun 2020 akan menjadi tahun yang paling sukar untuk dilalui. Semuanya kerana wabak penyakit Covid-19.

Satu wabak yang mula dikesan pada Disember 2019, iaitu setahun yang lalu di Wuhan, China. Pada 9 Januari penemuan penyakit itu secara rasmi dikenal pasti sebagai koronavirus atau disebut Covid-19.

Mengimbau penyebaran Covid-19, wabak tersebut mula melonjak meningkat pada paras lebih 10,000 kes sehari di rantau Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bermula pertengahan Mac iaitu ketika kita di Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Hari ini, AS mencatat lebih 200,000 kes sehari dan paling tinggi mencecah 280,000 kes harian. Kes keseluruhan bagi negara itu kini melepasi 19 juta dalam keadaan vaksin mula disuntik kepada ribuan rakyat negara tersebut.

Sementara itu di Malaysia selepas kita melalui fasa melegakan dengan laporan sifar kes penularan tempatan pada 1 Julai lalu yang disambut dengan penuh riang dan gembira, hari ini semua harapan untuk bebas daripada wabak tersebut seakan masih kelam.

Kita bukan sahaja gagal mengawal catatan kes harian, malah jauh melepasi rekod tertinggi 277 kes pada 4 Jun. Hari ini rekod tertinggi harian kita telah mencecah 2,335
kes.

Meskipun kita sedar bahawa pandemik tersebut diramal sukar untuk dihapuskan dalam masa singkat dan mengambil masa setahun atau dua tahun untuk pulih kembali, namun kita tidak mampu
membayangkan kesannya kepada kehidupan kita sendiri pada ketika itu.

Kita masih sukar untuk menggambarkan sejauh mana keberkesanan vaksin dalam mengekang wabak koronavirus daripada terus menular dan meragut nyawa manusia khususnya golongan berisiko tinggi.

Kita juga tidak mampu untuk menjelaskan apakah kehidupan pada masa akan datang bergantung kepada vaksin Covid-19 atau apakah mungkin vaksin tersebut bakal menjadi ‘emas’ baharu kepada manusia.

Apa pun cerita pandemik ini, tahun 2021 yang bakal menjelma menjadi tahun harapan agar kedukaan yang dialami sejak Mac hingga Disember tidak lagi berterusan.

Bukan sedikit kedukaan yang dilalui, pelajar sekolah pastinya mengalami kemerosotan prestasi apabila belajar tanpa kelas dan guru di hadapan mereka. Para pekerja kehilangan sumber rezeki bagi menampung makan minum, tempat tinggal dan kos membayar segala hutang piutang.

Begitu juga anggota barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan seolah-olah hilang nikmat kehidupan apabila bergelut dengan tugas berisiko tinggi menangani pesakit Covid-19 yang silih berganti tanpa henti.

Selamat tinggal 2020 – tahun duka. Selamat datang 2021 – tahun penuh harapan yang Tuhan sahaja maha mengetahui apa yang bakal kita lalui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI