SAO PAULO – Kelab ternama Brazil, Santos menegaskan, bintang Barcelona, Lionel Messi masih belum memecahkan rekod jaringan terbanyak untuk satu pasukan yang dipegang oleh Pele iaitu 643 gol.
Ia selepas seluruh dunia mengucapkan tahniah kepada Messi kerana berjaya memadam rekod legenda Santos itu selepas merakam jaringan ke-644 bersama Barcelona ketika meledak satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Real Valladolid pada aksi La Liga minggu lalu.
Bagaimanapun, Persatuan Penyelidik dan Sejarawan Santos menerbitkan akaun terperinci menjelaskan Messi masih ketinggalan 448 jaringan untuk memintas rekod Pele yang keseluruhannya berjumlah 1,091 gol setelah mengambil kira perlawanan persahabatan.
“Jumlah jaringan Pele terlalu banyak selepas mengambil kira permainannya membabitkan jersi rasmi pasukan, petugas-petugas rasmi dan keputusan perlawanan.
“Gol menentang Eibar secara statistiknya sama sahaja seperti menjaringkan gol ke atas Valencia. Satu gol menentang Transvaal (dari Suriname) mempunyai nilai sama seperti satu jaringan yang dilakukan di Real Madrid,” menurut kenyataan daripada Santos.
Santos terkilan kerana kebanyakan gol Pele dalam aksi persahabatan tidak diiktiraf sebagai jumlah jaringan peribadi yang rasmi meskipun ia dijaringkan ke atas kelab-kelab hebat seperti Real, Inter Milan, Boca Juniors, River Plate dan Barcelona.
Bagaimanapun, Pele yang pernah memenangi tiga Piala Dunia bersama Brazil pada 1958, 1962 dan 1970, langsung tidak kecewa sebaliknya mempamerkan semangat profesional dan kesukanan yang tinggi apabila mengucapkan tahniah kepada Messi atas kejayaan memecahkan rekod jaringannya. – AGENSI