IPOH – Seramai 22 individu termasuk tiga wanita tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam yang membabitkan kerugian sebanyak RM360,000 di sebuah premis di sini semalam.
Suspek berusia lingkungan 20 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan antara pukul 7 pagi hingga 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan mendapati, sindiket itu menggunakan premis yang diserbu sebagai pusat panggilan untuk melakukan penipuan.
Katanya, sindiket itu dikesan menggunakan aplikasi terkini di pasaran sebagai medium komunikasi dan menggunakan ‘dark web’ untuk mendapatkan maklumat mangsa yang disasarkan.
“Sindiket itu juga menggunakan MyEG Services Bhd. (MyEG), JPJ Portal dan SPR Portal untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam seterusnya menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari Kontinjen Terengganu.
“Kebanyakkan mangsa yang ditipu dalam kes ini adalah disebabkan mereka takut digertak akan ditangkap, dituduh di mahkamah dan diambil tindakan di bawah rampasan harta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak April 2018 di mana beberapa individu daripada kumpulan berkenaan telah menjalani latihan selama seminggu di Kemboja.
Katanya, kumpulan itu juga bekerja di Laos sejak pertengahan tahun 2018 sehingga Mac lalu sebelum berpindah balik ke Malaysia pada Mei 2020 ekoran pandemik Covid-19.
“Kumpulan itu juga telah menjadikan sebuah rumah di Menglembu, Ipoh sebagai rumah transit pada September lalu sebelum mereka memulakan operasi di Taiping pada bulan lalu.
“Bagaimanapun, operasi pusat panggilan yang kemudiannya berpindah di Ipoh sejak pertengahan bulan ini tidak bertahan lama apabila kesemua mereka berjaya diberkas semalam,” katanya.
Tambah beliau, dalam serbuan itu polis merampas dua buah kereta, tiga komputer riba, 47 telefon bimbit, 37 set skrip, 12 pasport, modem, tablet, kunci rumah, router dan broadband.
“Kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan juga diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.