fbpx

PTPTN capai deposit SSPN RM1.3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful menyampaikan sumbangan kepada 410 pelajar daripada keluarga B40 sekitar Negeri Sembilan sempena Program Bantuan Persekolahn 2021 yang dianjuran oleh PTPTN dan PERDASAMA. - Foto IZZAT TERMIZIE

SEREMBAN – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencapai 87.05 peratus atau RM1.3 bilion jumlah deposit bagi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berbanding sasaran RM1.5 bilion yang ditetapkan pada tahun 2020.

Pengerusi PTPTN,  Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah deposit RM1.3 bilion itu dicatatkan setakat 30 November lalu dan pihaknya yakin sasaran yang ditetapkan PTPTN pada tahun ini dapat dicapai menjelang hari-hari terakhir sebelum menginjak ke tahun baharu.

“Jumlah deposit (RM1.3 bilion) ini juga meningkat sebanyak 63 peratus berbanding RM800.84 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Secara keseluruhan, sehingga 30 November 2020, sebanyak 4.77 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit yang diterima berjumlah RM7.19 bilion,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Bantuan Persekolahan 2021 di Cattleya, Senawang sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 410 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Negeri Sembilan sempena program tersebut yang dianjuran oleh PTPTN dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Negeri Sembilan (PERDASAMA).

Menurut Wan Saiful, pihak PTPTN juga menjangkakan jumlah akaun baharu SSPN akan meningkat pada tahun 2021 dengan pelbagai promosi ditawarkan selain menggalakkan ibu bapa menabung demi masa depan anak-anak.

“Bagi tempoh Januari sehingga 30 November 2020, sebanyak 385,288 akaun SSPN telah dibuka iaitu 96.32 peratus daripada sasaran 400,000 akaun baharu pada tahun 2020.

“Pegawai kita telah bergerak ke seluruh negara bagi meneruskan aktiviti berkempen bagi menggalakkan ibu bapa menabung, sambutan dan sokongan yang diberikan amat baik,” katanya.

Jelas Wan Saiful, beliau juga berharap kadar dividen yang ditawarkan oleh SSPN kekal kompetitif berbanding institusi kewangan lain.

“Pada tahun 2019, kadar dividen yang diberikan adalah kompetitif iaitu empat peratus, dan saya berpandangan keuntungan yang diperoleh perlu dikongsikan dengan rakyat supaya mereka juga mendapat manfaat,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, PTPTN telah menyampaikan bantuan persekolahan berjumlah RM41,000 di mana setiap pelajar akan menerima bantuan bernilai RM100 iaitu RM80 dalam bentuk Baucer Mydin untuk kelengkapan persekolahan, manakala RM20 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI