TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas lebih satu tan beras seludup yang dianggarkan bernilai RM4,096 ketika menjalankan rutin rondaan di pangkalan haram Kuala Jambu awal pagi tadi.
Dalam rondaan pada pukul 12.50 tengah malam itu, PGA turut merampas sebanyak 25 kilogram beras pulut yang dianggarkan bernilai RM175.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan, anggota PGA telah menjumpai pelbagai guni putih mengandungi beras berada di tebing sungai pangkalan haram itu.
Menurutnya, selepas hampir satu jam melakukan intipan di lokasi itu, PGA bertindak merampas semua barangan untuk dibawa ke di Balai Polis Kuala Jambu.
“Siasatan awal mendapati, semua beras itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,271,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE