KOTA BHARU – Seorang penolong pengurus cawangan pasar raya milik sebuah koperasi didakwa atas 116 pertuduhan pecah amanah wang tunai hasil jualan lebih RM364,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Saifulamirullah Saudi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kira-kira tiga jam di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang penolong pengurus cawangan pasar raya koperasi di Pasir Tumboh di sini telah diamanahkan untuk mendepositkan wang hasil jualan harian berjumlah RM364,913.50 ke dalam akaun bank majikannya atas nama koperasi berkenaan.
Saifulamirullah didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta tersebut dengan tidak mendepositkan keseluruhan wang itu.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh bermula pada 9 Oktober tahun lalu sehingga 5 September lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 31 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE